Powered by Blogger.

Friday, July 20, 2012

Program Ziarah 1 : 16 Julai 2012

Keadaan kaki Guru Rahman yang dipotong

Dua hari sebelum ini, DSSM mendapat berita bahawa seorang guru Seni Silat Ezha/Esha, Guru Rahman telah dipotong kakinya akibat kencing manis. Bergegas pentadbir DSSM menyusun program dan terus ke rumah beliau pada tarikh yang diwar-warkan. Alhamdulillah, beberapa orang ahli hadir dari sekitar Gombak, Shah Alam, Cheras, Melewati untuk tujuan tersebut.

Berkumpul menanti kehadiran rakan-rakan DSSM

Guru Rahman terlantar uzur

Tuan Sahrudin berbicara dengan Guru Rahman

Ketika menziarahi beliau, kami diselubungi perasaan haru dan sedih, namun semangat dan kekuatan yang ditunjukkan oleh Guru Rahman membuatkan kami bertahan. Sempat juga kami bertanyakan khabar serta berbual mesra dengan beliau. Ketabahan Guru Rahman membuatkan kami kelu dan merasakan bahawa itulah sebenarnya semangat seorang pejuang.

Beliau mengatakan walaupun kedua-dua kakinya sudah tiada, namun matanya masih ada. Beliau tidak pernah kesal dengan apa yang terjadi dan menganggapnya itu adalah suatu takdir yang wajib dijalani dengan tabah. Disamping itu, Pengerusi DSSM, Tuan Sahrudin menerangkan juga tentang kewujudan DSSM dan tujuannya. Alhamdulillah, Guru Rahman memberi sokongan penuh terhadap DSSM dan tentunya akan turun padang sekiranya kesihatan mengizinkan beliau untuk berbuat demikian, Insya-Allah.

Sesekali hati kami terusik dengan kata-kata semangat beliau. Sempat juga dipesankan tentang pentingnya orang silat untuk bersatu dan berukhuwah. Disamping itu, beliau juga menerangkan serba sedikit tentang sejarah perguruannya. Kami dapat merasakan semangat itu bagaikan mengalir ke dalam kami. Kalaulah setara itu masih lagi bersemangat berkisah tentang peri pentingnya silat, apatah lagi kami yang masih muda dan sihat, Insya-Allah.

Kehadiran kami yang sedikit tergesa itu, tidaklah dapat mengumpulkan apa-apa melainkan menghulurkan sedikit bantuan yang dikumpul sesama sendiri ketika berjumpa sebelum itu. Syukur, alhamdulillah, mereka yang dilorongkan untuk hadir menerima pelajaran masing-masing. Melihat sudah tentu tidak sama dengan yang hadir.

Untuk akan datang, pentadbir DSSM berharap agar dapat ramai lagi ahli DSSM untuk turut serta dan menziarahi guru-guru yang sedang uzur. Hari ini guru orang, esok lusa mungkin guru kita. Wuallahua'lam. Mari sama-sama kita doakan agar Guru Rahman pulih seperti sedia kala, tiada yang mustahil sekiranya Allah mengizinkan, amin, amin, amin.

p/s : Gambar yang diterbitkan untuk entri ini sudah mendapat kebenaran lisan daripada Guru Rahman.

Kepada mana-mana persatuan/perguruan yang mengetahui tentang berita keuzuran, mohon maklumkan kepada pentadbir DSSM melalui emel duniassmelayu@yahoo.com untuk perhatian kami, Insya-Allah. Sama-sama kita bantu meringkan beban guru-guru yang sudah berjasa untuk agama, bangsa dan tanah air. Kalau bukan kita, siapa lagi?

0 comments:

  © Blogger templates ProBlogger Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP